

KOTA BHARU 17 Dis. - Makyung yang merupakan teater tradisional Melayu mempunyai elemen unik dengan kombinasi tari, lakonan, komedi dan muzik, sering dikaitkan dengan pengenalan identiti negeri Kelantan.
Ketika negara belum melalui proses pemodenan, drama tari makyung, selain dendangan dikir barat telah menjadi sebahagian medium hiburan bagi masyarakat Melayu di negeri ini.
Namun kesenian ini semakin dilupakan, semakin asing bagi generasi sekarang, malah ia turut diharamkan oleh kerajaan negeri sendiri dan semakin hampir untuk dijadikan tatapan di muzium negeri yang sunyi itu.
Ia cuma boleh dipentaskan secara eksklusif sekali-sekala di Gelanggang Seni khusus untuk pelancong, menikmati cerita Dewa Muda, Bongsu Sakti, Gading Bertimang, Raja Tangkai Hati, Dewa Pecil, Raja Muda Lakleng Bedara Muda dan Endeng Tajeli.
Di luar Kelantan pula, ia juga sekali-sekala dipersembahkan dalam bentuk tidak ritual dan disesuaikan dengan tempoh masa singkat bagi tujuan komersial dan program promosi pengenalan budaya dan pelancongan.
Ketika penggiat yang mendukungnya hampir tiada lagi dan ia semakin tidak dipeduli, warisan bangsa ini mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kesenian itu dianggap sebagai 'Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity' yang merupakan pengiktirafan tertinggi warisan dunia bagi seni budaya pada November 2005.
Justeru untuk mengelak daripada pupus, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara telah memperkenalkan Kelas Perantisan Makyung terbuka kepada semua yang berminat dengan kesenian bangsa ini.
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika berucap pada satu majlis di sini baru-baru ini berkata, kelas itu dilaksanakan pada tahun 2006 selepas mendapat pengiktirafan tertinggi warisan dunia bagi seni budaya UNESCO.
"Program ini dirancang bertujuan membangunkan teater tradisional makyung supaya terus popular diminati, ditingkatkan kecintaan, penghargaan dan yang paling penting, mempunyai pelapis mewarisi seni ini.
Kelas tersebut pada awalnya digerakkan oleh Allahyarham Saari Abdullah yang juga dikenali dengan gelaran Saari Raja Gondang, Allahyarham Awang Omar, Nurmizanun Saari, Omar Merah dan Wan Zakaria Abdullah.
Biarpun dua tonggak utama kelas ini telah meninggal dunia tetapi ia diteruskan oleh beberapa penggiat lain seperti, Noor Hayati Zakaria, Awang Omar, Awang Mat Ali, Wan Zakaria Wan Abdullah termasuk isteri Saari, Ruhani Mohd. Zain.
Sehingga kini kelas tersebut disertai seramai 30 orang perantis berusia di bawah 30 tahun. Kelas tersebut diadakan setiap minggu bermula Ahad sehingga Rabu di Lot 1547, Tingkat 1, Wisma Yusmah, Jalan Long, Kota Bharu.
Mereka ini yang menggerakkan Kumpulan Makyung Kijang Emas Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan serta Kumpulan Makyung De Citra Dances yang menerima Anugerah Penghargaan Kesenian 2008 yang disampaikan oleh Sultan Kelantan.
Di negeri ini terdapat tiga lagi kumpulan makyung yang masih bernafas iaitu Warisan Sari, Sri Temenggung dan Sri Gabus yang bergerak sendiri dengan bantuan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Pegawai Kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, Roslina Noor berkata, pelajar kelas tersebut akan diberikan pendedahan mengenai makyung dari semua aspek seperti muzik, tari dan lakonan.
Katanya, setiap peserta akan diberi bayaran saguhati sebanyak RM300 sehingga RM400 sebulan manakala jurulatih menerima bayaran di antara RM1,400 sehingga RM2,000 sebulan.
"Para pelajar kelas ini telah mengadakan persembahan di bawah Kumpulan Makyung Kijang Emas sempena Program Makyung Ekstravaganza di Kuala Lumpur dan Jelajah Makyung ke Perlis dan Terengganu dari 23 November sehingga 7 Disember lalu.
"Kumpulan pelajar itu telah mempersembahkan cerita Dewa Indera, Indera Dewa dan Raja Muda Lakleng pada setiap pertunjukkan, mungkin pada tahun depan mereka akan diajar cerita-cerita baru untuk dipersembahkan," katanya.
Jurulatih kumpulan tersebut, Ruhani berkata, pada mulanya memang susah untuk pelajar terbabit menerima makyung kerana kebanyakan mereka bermula tanpa mempunyai pengetahuan asas mengenainya.
"Ia tidak semudah persembahan moden. Tetapi dalam tempoh yang singkat, mereka beransur menguasainya kerana sememangnya mempunyai minat dengan kesenian tradisi.
"Saya amat berharap mereka akan terus kekal menjadi pelapis kami kerana sehingga kini tidak ramai penggiat makyung yang masih hidup," katanya.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1218&pub=utusan_malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm&arc=hive