Tag Archives: Reka

Artikel : Dilema Dikir Barat Sekolah

Posted 23 July 2008 | By senok | Categories: Artikel | View Comments

Sebenarnya hari ini aku baru sahaja pulang dari menghakimi pertandingan dikir barat sekolah peringkat negeri Selangor di Kuala Kubu Baru dan beberapa minggu sebelum itu aku juga dijemput untuk menjadi hakim di daerah Ulu Langat. Kalau nak diikutkan aku dah naik muak menghakimi pertandingan dikir barat sekolah-sekolah ni.

Apa tidaknya, kebanyakan sekolah yang bertanding, kualitinya sama jugak masa aku menghakiminya masa 5 tahun sebelumnya. Sangat teruk. Mungkin jugak disebabkan kawan-kawan yang ajak aku untuk menghakiminya ataupun jauh disudut hati ada ‘angin’ yang mengatasi rasa muak aku lantaran aku gagah jugak untuk menghakiminya.

Aku dapat rasakan kebanyakkan peserta-peserta yang bertanding tidak tahu apa itu dikir barat yang sebenarnya, bentuk persembahan yang sepatutnya dipertandingkan atau mungkin jugak jurulatih yang mengajarnya itu pun sama macam murid-murid yang diajarnya.

Apabila dipersilakan pasukan pertama untuk membuat persembahan, kebiasaanya telahan aku mengenai persembahan tersebut adalah betul; para pemuzik masuk, muzik dimainkan untuk ‘memanggil’ awak2 dan penyanyi masuk pentas.

Awak-awak pula dengan gaya yang sangat jelek semasa masuk ke pentas. Kadang-kadang seperti Red Indian keliling api, kadang-kadang macam orang asli buat ritual ketuhanan malah ada juga yang semacam gaya yang memperpodohkan diri sendiri dan yang lebih tragis lagi semacam memperbodohkan kesenian dikir barat itu sendiri walaupun niat mereka tidak sebegitu. Mungkin gaya tersebut mudah untuk dikreasikan oleh pengajar dikir barat ataupun budak-budak dikir barat itu sendiri.

Persembahan ‘ritual’ itu akan berlarutan untuk masa beberapa minit sehinggalah ada muzik yang mereka reka sendiri sebelum bertabuh. Apabila tok jogho buka sahaja mulut untuk menyanyi, dah mula dah pangkal rambut dikepala berdenyut-denyut. Semasa nak naik ke pentas bukan main menari-nari lagi sedangkan perkara yang sepatutnya tidak diambilkira (ataupun mungkin mereka tak tahu) untuk permarkahan.

Begitu juga dengan tukang karut yang memang betul-betul mengarut. Aku perhatikan sekarang seakan-akan menjadi satu trend tukang karut yang suka sangat terkial-kial terkinja-kinja kat pentas ketika menyanyi. Gaya fizikal yang melampau dan tidak kena dengan persembahan dikir barat. Melodi karut perlahan, karut Kelantan, Wau Bulan ke laut, suara flat pekeliling, pitching berterabur dan entah apa-apa lagi yang dibuatnya.

Walau bagaimanapun, tidak nampak perasaan bersalah ataupun malu di wajah-wajah budak-budak dikir barat ini malah, mereka begitu bersemangat membawakan apa sahaja yang disuap oleh tok guru dikir barat mereka. Sebab itu mereka sebenarnya tidak boleh dipersalahkan kerana mereka, sebagai murid, mereka akan terima apa sahaja input yang disogokkan oleh guru mereka.

Aku tak pasti sama ada mereka yang bertangunggjawab menganjurkan pertandingan ini mengambil berat tentang unsur-unsur penting/perkara-perkara perlu yang sepatutnya ada dalam dikir barat. Ataupun memang mereka tak tahu ataupun mereka hanya memandang ringan tentang benda ni semua. Yang penting pertandingan itu berjalan dengan lancar dan juga program ko-kurikulum mereka dapat diisi sepenuhnya.

Terdapat beberapa sebab kenapa kualiti dikir barat sekolah tidak berkembang:

i. pengajar dikir barat tidak tahu dikir barat dengan mendalam

ii. pengajar yang tidak mempunyai sistem mengajar

iii. pendikir-pendikir yang sentiasa bertukar dari tahun ke tahun

iv. masa mengajar tidak cukup

Berulang kali aku ke tandas, berulangkali tongkat dagu, berulangkali aku layangkan otak aku ke tempat-tempat yang merangsangkan supaya aku dapat bertahan di situ untuk menghabiskan pertandingan itu. Selalu aku cuba untuk mengadili pertandingan yang sebegitu dengan aksi “seorang hakim yang professional” iaitu dengan memakai baju batik, pen di tangan, tumpukan sepenuhnya pada pertandingan, hangguk sekali sekala, duduk dalam keadaan sopan, tulis apa yg dilihat walaupun tak tahu apa yang ditulis. Namun aku gagal untuk berlagak sebegitu kerana kebanyakkan persembahan tidak membenarkan aku berkelakuan sebegitu.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa pasukan yang berjaya membuatkan aku malah hakim-hakim yang lain menikmati persembahannya sehingga habis. Tetapi tak banyak, mungkin 2 atau 3 pasukan daripada 10 pasukan mungkin.

Setelah habis pertandingan, sebelum keputusan kebiasaannya ketua hakim akan memberi ulasan. Satu lagi perkara klise yang akan disebut ialah “tahniah kepada semua kerana dikir barat pada tahun ini amat bagus berbanding tahun-tahun sebelumnya….” Dan seumpamanya. Kadang-kadang hakim yang mengulas terpaksa menjadi hipokrit dengan berkata sedemikian sedangkan kualitinya sama sahaja dengan tahun-tahun yang sebelumnya malah lagi teruk ataupun mereka pun sudah lupa.

Selesai sahaja keputusan dibuat dan diumumkan, beberapa orang guru penyelaras pasukan dikir barat akan menerpa ke arah hakim-hakim pertandingan untuk bertanyakan bermacam-macam soalan. Kebiasaannya ialah; “ sekolah saya dapat nombor berapa?…”, “di mana silap sekolah saya”. “apa yang perlu saya repair?” dan sebagainya. Tidak salah mereka bertanyakan soalah-soalan yang sebegitu tetapi masalahnya adakah jawapan yang diberikan oleh hakim-hakim adalah difahaminya dan digunapakai untuk menambahbaik pasukan dikirnya? Ini kerana bukan cikgu-cikgu itu yang mengajar, mereka hanyalah penyelaras. Mungkin jawapan-jawapan itu untuk dijawab bila ditanya oleh pengetua mereka. Pernah aku bertanya kepada seorang cikgu perempuan yang sibuk-sibuk bertanyakan apa kesilapan murid-muridnya. Saja aku nak tahu jawapan dia. Soalan aku, “part mana yang cikgu nak tahu?” dia jawab, “ntahlah, saya memang langsung tahu apa pasal dikir barat nih”… Adoii…menyirap jer aku dengar jawapan dia. Kalau dia memang tak tahu langsung pasal dikir barat, macamana dia nak faham (dalam masa 2 atau 3 minit) apa yang kita sampaikan. Macamana pulak kalau dia nak bagitahu semula kepada murid-muridnya? Aku percaya, mesej yang akan disampaikan kepada murid-murid tidak sama dengan apa yang diterimanya.

Selain daripada murid-murid dikir barat yang memang mempunyai bakat dalam dikir barat dan juga ada ‘music sence’, ada 2 perkara perlu yang penting untuk menaikkan lagi kualiti dikir barat sekolah-sekolah;

i. tenaga pengajar yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang mendalam di bidang dikir barat. Tahu mengenai teori dan juga praktikal.

ii. Tenaga pengajar mestilah mempunyai system pengajaran yang tersusun, terancang dan teratur supaya apa yang diajar dapat diterima dengan sepenuhnya oleh pendikir.

Aku rasa ada juga yang beranggapan aktiviti dikir barat sekolah-sekolah yang dianjurkan setiap tahun hanyalah sekadar untuk memenuhi calendar aktiviti ko-kurikulum sekolah. Mereka tidak mengambil berat (mungkin juga tidak tahu bagaimana) mengenai perkara-perkara ‘wajib’ yang perlu diisi dalam dikir barat itu sendiri. Walau bagaimanapun ucapan terima kasih harus diberikan kepada sesetengah tenaga pengajar dikir barat yang amat menitikberatkan perkara-perkara ‘wajib’ tersebut.

[wpsc_category=2,full]

Artikel asal adalah dari blog Kesenian Tradisional yang di tulis oleh saudara Mafaka

http://www.mafaka.org/2008/07/dikir-barat/dilema-dikir-barat-sekolah/

====================================================